Adrenalin di laluan besi tertinggi dunia
NAMA khasnya Via Ferrata. Memang kedengaran pelik dan asing sekali sehingga sukar digambarkan. Namun, dalam bahasa biasa ia juga disebut sebagai laluan besi. Diambil daripada bahasa Itali, Via Ferrata atau laluan besi merujuk kepada kabel besi panjang yang digabungkan bersama dengan cincin besi di dataran dan lereng gunung. Pada bahagian-bahagian tertentu juga Via Ferrata disertakan dengan tangga besi, peletak kaki dan jambatan.
Mempunyai sejarah yang panjang sejak tahun 1843 apabila diperkenalkan di Austria yang menghubungkan dua puncak gunung tertinggi di negara itu iaitu Grossglockner, Via Ferrata hakikatnya mempunyai kepelbagaian kegunaan.
Pernah digunakan pada tahun 1913-1917semasa Perang Dunia Pertama oleh tentera Itali sebagai laluan rahsia bekalan senjata dan memperkuatkan ketumbukan pasukan tentera, Via Ferrata kemudian menjadi salah satu bentuk sukan rekreasi ekstrem yang memompa adrenalin kerana menguji keberanian seseorang melawan ketinggian. Sejak itu, Via Ferrata sebenarnya cukup popular di Barat, sehingga bayangkan di gunung-ganang benua Eropah sahaja terdapat lebih 300 laluan besi seperti di Perancis, Jerman, Itali, Slovenia dan Switzerland. Namun, dibandingkan dengan jumlah itu, benua terbesar di dunia iaitu Asia hanya memiliki satu laluan Via Ferrata.
Bagaimanapun, apa yang membanggakan Via Ferrata tunggal Asia yang terletak di pergunungan Kinabalu itu diiktiraf Via Ferrata yang paling tinggi di dunia iaitu pada ketinggian 3,776 meter menewaskan laluan besi Italian Dolomites 3,343 meter. Pengiktirafan itu diberikan oleh Guinness Book of Records kepada syarikat pengendali Via Ferrata Gunung Kinabalu iaitu Moutain Torq pada 16 Disember tahun lalu. Hampir menyamai konsep seperti sukan memanjat dinding (wall climbing), bagaimanapun apa yang perlu anda fahami untuk laluan besi ini, ia bukanlah digunakan semasa memanjat Gunung Kinabalu, sebaliknya sewaktu menuruni puncak iaitu bermula dari ketinggian 3,776 meter ke 3,411 meter.
Memperkenalkan Via Ferrata kepada sekumpulan wartawan yang menyertai Kembara Gunung Kinabalu Via Ferrata Bersama Media anjuran Bank Muamalat baru-baru ini, menurut salah seorang jurulatih, John Martin, 21, terdapat dua jenis laluan besi di pergunungan iaitu Walk the Torq dan Low Peak Circuit.
Katanya, Walk the Torq merupakan laluan besi yang lebih pendek dengan jarak sekitar 430 meter. Bermula pada ketinggian 3,520 meter, laluan besi Walk the Torq terdiri daripada 200 meter laluan menegak pada sudut mencapai 90 darjah, 230 meter laluan agak mendatar dan sebuah jambatan kabel atau dipanggil Monkey Bridge. Cabaran Walk the Torq pada kebiasaannya boleh disudahkan dalam masa sekitar satu hingga dua jam. Jika Walk to Torq dicadangkan untuk pendaki amatur, Low Peak Circuit pula ujar anak kelahiran Sabah itu, digalakkan buat kaki-kaki daki tegar kerana dengan panjang laluan 1.2 kilometer, ia memberi cabaran yang lebih mengujakan.
RAKAMAN foto kenangan saat menjadi sebahagian daripada pendaki bertuah melalui pengalaman Via Ferrata. |
“Mengambil masa sekitar empat hingga lima jam untuk disudahkan, Low Peak Circuit juga mempunyai kombinasi jambatan gantung, tiga buah jambatan wayar dan dua buah jambatan kabel. Bermula pada ketinggian 3,776 meter anda akan menuruni laluan besi sehingga ke titik 3,411. Ini bermakna mereka yang mencuba laluan Low Peak Circuit tidak akan terlepas laluan Walk the Torq," ujarnya sambil memberitahu sejak dimulakan pada tahun 2007, Via Ferrata Kinabalu telah ditakluk oleh sekitar 6,000 pendaki.
Apa yang lebih membanggakan katanya, laluan besi yang dikelaskan sebagai Grade AD atau kesukaran tahap sederhana itu adalah antara yang terselamat di dunia kerana tidak pernah mencatatkan apa-apa kecelakaan. Kerana itu, semua peserta laluan besi diwajibkan untuk menghadiri sesi taklimat keselamatan oleh jurulatih Via Ferrata pada sebelah malam sebelum aktiviti. Pada sesi satu hingga dua jam itu peserta akan diberikan tunjuk ajar penggunaan peralatan seperti abah-abah, helmet, cangkuk dipanggil scorpion dan teknik ikatan ikatan tali pada cincin besi di dinding gunung.
Penulis bersama rakan-rakan media sebelum memulakan pendakian. |
Menawan Walk the Torq
Pagi itu selepas menawan puncak Gunung Kinabalu sekitar 5.30 pagi hingga 6.30 pagi, kebanyakan pendaki tidak punya masa untuk merakam banyak foto kenangan di puncak granit itu. Ini kerana kami perlu berada di Sayat-Sayat (pondok perhentian) sebelum pukul 8 pagi untuk mengenakan semua peralatan keselamatan Via Ferrata. Pendaki yang terlewat tidak dibenarkan untuk menyertai tidak ekspedisi Via Ferrata atas faktor kekangan masa kerana aktiviti itu diadakan pada sebelah pagi.
Terpaksa meninggalkan beberapa rakan yang terlewat, seramai 24 peserta kembara yang sudah bersiap kemudian berjalan turun sekitar 300 meter untuk ke tempat mula Walk the Tork. Walaupun tidak sepenat seperti mendaki, namun menuruni kawasan pergunungan pula dari puncak Low Peak menggamit kisah berbeza. Tekanan pada lutut menyebabkan kaki penulis terketar-ketar sendiri apabila berdiri lama. Diberi rehat selama lima minit sebelum memulakan Via Ferrata, hati penulis menggumam sendiri, “Bagaimana hendak turun laluan besi ini dalam kaki terketar-ketar.”
Apatah lagi apabila kepala didongak ke atas, sayup-sayup kelibat objek berwarna oren melekat di dinding menegak granit Kinabalu menyebabkan hati tambah kecut dan risau. Objek itu merupakan sekelompok pendaki berhelmet oren yang memilih laluan besi lebih ekstrem iaitu Low Peak Circuit. Kami kemudian dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan kumpulan pertama dan kedua seramai 10 orang manakala baki empat orang dalam kumpulan ketiga.
Ahli-ahli dalam setiap kumpulan kemudian diikat secara berangkai menggunakan tali khas dipanggil tali dinamik dengan orang pertama menjadi kapten manakala di belakang pendaki terakhir, seorang jurulatih Via Ferrata akan memegang tali itu.
PARA pendaki Kembara Gunung Kinabalu Via Ferrata bersama Media
bergambar kenangan sebelum memulakan ekspedisi.
Melihat cenuram dalam di bawah, rasa gayat dan ketakutan dibuang jauh apabila perasaan penulis mula sebati dengan keterujaan rakan-rakan lain. Saat mula memasukkan kedua-dua scorpion kepada kabel, pada detik itulah kami meletakkan sepenuh kepercayaan keselamatan nyawa kami kepada peralatan seperti tali dinamik, tali penyandang (energy absorber lanyard), kabel besi dan sudah tentunya jurulatih Via Ferrata yang setia di belakang.
Memulakan cangkukan pertama scorpion di kabel batuan landai, hampir kebanyakan kami kelihatan begitu kekok untuk membuat ikatan dinamik pada cincin besi. Begitu juga ketika membuat pertukaran dua cangkuk scorpion ke kabel yang dipisahkan dengan cincin besi itu.
Akhirnya selepas lebih beberapa menukar cangkukan scorpion ke kabel besi, keserasian dan keyakinan semakin menebal, cuma kami masih perlu berhati-hati mengatur langkah serta letak kaki kerana permukaan dinding granit yang kadangkala menegak dan mendatar. Apatah lagi melakukan aktiviti secara berkumpulan perasaan takut lekas sekali hilang, apabila gelak ketawa melihat pelbagai keletah rakan-rakan memeriahkan suasana.
Saat berdepan dengan Monkey Bridge juga sangat mengujakan. Melalui jambatan dengan hanya berpijak pada seutas kabel sambil di bawah adalah gaung dalam, memang agak menakutkan.
Penulis semasa berdepan dengan Monkey Bridge. |
Namun, hampir semua peserta meniti laluan dengan senyuman malah, ada yang melepaskan tangan dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada energy absorber lanyard.
Yang pasti, menawan Via Ferrata melalui Walk the Torq dalam masa satu jam setengah, ia antara pengalaman sungguh luar biasa. Apatah lagi di bawah kaki gunung, sekeping sijil kejayaan menakluk Via Ferrata tertinggi di dunia sudah sedia menanti kami.
Salam sayang,
JRP aka JR
Salam sayang,
JRP aka JR